Friday, 25 March 2011

jujur bukannye bodoh, lemah bukannye kalah

Kata orang yang arif, “jadilah orang yang baik, nanti kebaikan akan datang kepada kita.”  Segala kebaikan akan datang kepada kita seperti besi yang tertarik kepada magnet. Sebab itu sering diperkatakan orang, jika kita murah dengan senyuman, kita akan murah rezeki. Contohnya peniaga yang ramah mesra dan sentiasa tersenyum melayan pelanggan, kedainya akan sering dikunjungi, produknya akan laku, jualannya sentiasa laris.
Kita tidak perlu tahu mekanisme saintifik tentang aura atau gelombang elektromagnetik untuk memahami semua ini.  Atau arif dengan tafsir seribu firman atau al hadis untuk mengamalkannya. Hanya jadilah orang yang baik dan berilah kebaikan.  Insya-Allah, kita akan mendapat kebaikan. Allah itu Maha Baik, DIA tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang baik. Setiap saat dan ketika tanya diri kita, apakah hari ini, ketika ini aku sedang menjadi atau sedang berusaha menjadi orang baik yang sentiasa ingin memberi kebaikan…
Tidak kira sejahat mana orang yang kita hadapi atau seburuk mana keadaan yang sedang kita alami, tetapi jangan sekali-kali korbankan ‘kebaikan’ diri kita. Biar kalah, tetapi jangan mengalah dengan kejahatan. Jangan ambil kejahatan menjadi ‘guru’ kita.
Maksudnya, cubalah beri kebaikan walaupun sering dibalas dengan kejahatan. Tetapi sekiranya kita kecewa, dan mula membalas kejahatan itu dengan kejahatan yang sama atau yang melebihinya … takziah, kerana pada waktu itu kejahatan telah menjadi guru dalam kehidupan kita.
Kerap kali kalau kita jujur kita dituduh bodoh. Bila kita mengalah, kita dianggap lemah. Pada hal, kita inginkan keamanan dan kedamaian tanpa kehilangan hak dan harga diri. Namun begitu sukar untuk mendapatnya!
Paling teruji apabila ada orang lain yang mengikut lorong salah… lalu dia cepat sampai, sedangkan kita di lorong yang betul masih lelah  menapak dan merangkak. Bila yang batil ketawa, yang benar pastinya teruji melihat kegembiraan itu. Dan hampir-hampir ia melepaskan kebenaran itu semula hanya kerana tidak tega melihat kebatilan melonjak ria.

No comments:

Post a Comment